Hikayat Inderaputera

DEFINISI FALSAFAH

Menurut Hashim Haji Musa, falsafah disifatkan sebagai kajian secara renungan dan spekulatif terhadap punca, keadaan dan sifat seluruh pengetahuan manusia yang menjadi sari pati bagi seluruh bidang pengetahuan manusia. Tokoh Melayu ini masih memberi pentakrifan yang berkisar mengenai cakupan keseluruhan ilmu dan bidang tentang pengetahuan manusia. Selain itu, seorang filsuf muslim terbesar, iaitu Al–Farabi menyatakan falsafah adalah ilmu pengetahuan tentang alam maujud dan bertujuan menyelidiki hakikat sebenarnya.
Pengertian filsafat menurut Harun Nasution pula adalah berfikir menurut tata tertib (logika) dengan bebas (tak terikat tradisi, dogma atau agama) dan dengan sedalam-dalamnya sehingga sampai ke dasar-dasar persoalan. Manakala Hasbullah Bakry menyatakan ilmu filsafat merupakan ilmu yang menyelidiki segala sesuatu dengan mendalam mengenai ketuhanan, alam semesta dan manusia sehingga dapat menghasilkan pengetahuan tentang bagaimana sikap manusia itu sebenarnya setelah mencapai pengetahuan tersebut.
Seterusnya, Harold H. Titus (1979) yang telah menyatakan beberapa pengertian tentang falsafah, iaitu pertama filsafat adalah sekumpulan sikap dan kepercayaan terhadap kehidupan dan alam yang biasanya diterima secara tidak kritis. Pada pendapat beliau filsafat merupakan suatu proses kritik atau pemkiran terhadap kepercayaan dan sikap yang dijunjung tinggi. Kedua, filsafat adalah suatu usaha untuk memperoleh suatu pandangan keseluruhan. Akhir sekali, beliau berpedapat filsafat adalah analisis logis daripada bahasa dan penjelasan tentang erti kata dan pengertian (konsep). Berlainan pula dengan pengertian yang dinyatakan oleh Sidi Gazalba, iaitu filsafat adalah satu perbuatan untuk mencari kebenaran daripada kebenaran untuk kebenaran tentang segala sesuatu yang dimasalahkan dengan befikir secara radikal, sistematik dan universal.
Hikayat Inderaputera adalah kesusasteraan Melayu tradisional yang diselenggara oleh Ali Haji Ahmad dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) ini telah dikenali seawal tahun 1968. Ali Haji Ahmad merupakan orang pertama yang mengusahakan transliterasi hikayat tersebut sehingga menjadi salah sebuah teks kajian yang penting dalam pengajian kesusasteraan Melayu. Oleh itu, terdapat beberapa falsafah yang boleh dikenal pasti di dalam Hikayat Inderaputera ini.



     Falsafah bersumberkan Islam

Perkataan Islam membawa erti penyerahan dan pengabdian sepenuhnya kepada Allah S.W.T. . Selain itu, perkataan Islam juga boleh diertikan sebagai ketenangan yang sejati kepada manusia yang mengikut ajaran Islam. Falsafah Islam menerangkan pertalian  antara manusia dengan penciptanya, antara manusia dengan manusia dan juga antara manusia dengan persekitarannya. Kesemuanya berpandukan kepada sumber Al-Quran dan wahyu. Hal ini kerana Al-Quran merupakan panduan dan pegangan yang ulung bagi umat Islam. Tambahan lagi, falsafah yang bersumberkan Islam tidak dapat dipisahkan daripada dua sumber beroutoriti, iaitu Al-Guran dan As-Sunnah. Keesaan Allah Taala atau tauhid menjadi asas kepada falsafah Islam. Disamping itu, keyakinan kepada kepercayaan ini mempunyai impak yang besar terhadap kehidupan manusia disebabkan ajaran agama akan mempengaruhi perlakuan manusia.

Dalam hikayat ini agama Islam merupakan agama yang dipegang oleh Inderaputera. Contohnya:

Hatta beberapa lamanya sekira-kira tujuh tahun lamanya maka Inderaputera pun tahulah sudah mengaji Al-Quran dan Maharaja Bikrama Buspa pun semakin sangat kasih gemar akan anak-anak baginda daripada sebab lagi pesanan segala ahli junum.
(Halaman 5)

Perenggan tersebut dapat dilihat penggunaan Al-Quran dalam kehidupan seharian Inderaputera. Walaupun pengaruh Hindu dalam masyarakat masih kuat, tetapi pengarang bijak menyesuaikan dengan ajaran agama Islam. Dapat dilihat Inderaputera menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam hidupnya seterus membuatkan Maharaja Bikrama Buspa bertambah sayang kepadanya.



Maka ujarnya oleh Inderaputera, “Hai nenekku, serahkan hamba kepada Tuhan Yang Maha Besar.”
(Halaman 17)

Dapat dilihat di sini Inderaputera meminta supaya neneknya untuk serahkan takdirnya kepada yang lebih berkuasa iaitu Allah kerana Inderaputera tidak mengetahui akan nasibnya sewaktu perjalanannya ke Berma Sakti untuk mencari ubat. Kebiasaannya penganut agama Islam akan berpegang kepada pepatah ‘kita hanya merancang tetapi Tuhan (Allah) yang menentukan’. Maksudnya di sini kita sebagai manusia hanya mampu merancang tetapi Tuhan (Allah) yang menentukan sama ada rancangan kita itu Berjaya atau tidak. Islam menekankan konsep supaya tidak keterlaluan dalam segala perkara tetapi usaha itu perlu.

Setelah didengar oleh Nobat Rum Syah maka kata Nobat Rum Syah, “Tiada patut demikian. Perintah ini daripada nabi kita dahulu pada tempatnya juga ada dengan masing-masing.”
Maka Tamar Jalis pun berkata, “Tiada demikian, kerana sekalian bumi Allah juga yang empunya,”
Maka kata Nobat Rum Syah, “Sungguhpun bumi Allah tetapi masing-masing dengan bahagian yang empunya dia seorang hambanya.”
(Halaman 23)

Nabi adalah manusia terpilih yang diberi wahyu (ajaran Islam yang mengandungi peraturan tertentu) oleh Allah S.W.T. sebagai panduan hidup dirinya sendiri. Justeru sebagai seorang manusia yang mengikut ajaran Islam seharusnya tidak membuat sesuatu perkara yang tidak diajar atau bertentangan dengan ajaran Islam. Hal ini kerana bumi ini adalah milik Allah dan segala makhluk di atasnya hanya menumpang.

    Falsafah bersumberkan Melayu

Tamadun Melayu merujuk kepada satu rumpun bangsa yang bersala daripada satu punca dan mempunyai asas kehidupan yang sama serta hanya berbeza daripada segi pengaruh alam sekitar. Selain itu, kehidupan masyarakat Melayu sememangnya tidak terlepas daripada peraturan dan aturan yang perlu dipatuhi berdasarkan kepada kesepakatan masyarakat. Hal ini disebabkan masyarakat Melayu sangat mementingkan aspek nilai dalam kehidupan untuk menjamin kesejahteraan masyarakat. Nilai yang disampaikan oleh masyarakat Melayu bersifat beradab, muafakat dan penuh dengan kesusilaan bersesuaian dengan identiti Melayu. Pemupukan nilai-nilai tersebut dalam masyarakat Melayu membolehkan seseorang itu diterima sebagai sebahagian daripada masyarakat.

Berikut adalah contoh ayat yang mempunyai falsafah Melayu:

Maka ujar Nenek Kebayan, “Sebab selamanya tiada hamba bawa kerana ia lagi kanak-kanak dan kurang budi bicaranya lagi. Sebab itulah tiada hamba bawa ia.”
(Halaman 9)

Dapat dilihat di sini bahawa Nenek Kebayan tidak akan membawa Inderaputera kemana-mana lagi selagi dia tidak pandai berbudi bahasa dan tidak bijak dalam berbicara. Tambahan lagi, Nenek Kebayan hendak berjumpa dengan orang-orang besar yang sangat mementingkan budi bahasa yang elok. Dengan ini, Nenek Kebayan menunggu waktu yang sesuai untuk membawa keluar Inderaputera berjumpa dengan orang kenamaan.

Setelah sudah fikirnya itu maka Inderaputera pun berkata pada Perdana Menteri, “Ya Tuanku Perdana Menteri janganlah tuan hamba bercinta lagi. Adapun hambalah pergi ke sana kepada Berma Sakti itu.”
(Halaman 14)

Dari percakapan Inderaputera yang sangat menghormati Perdana Menteri sebagai orang tua sangatlah terpuji dan sempurna. Inderaputera pandai bermain kata dan sudi memberi pertolongan kepada orang yang menjaganya tanpa mengharapkan apa-apa balasan dan akan dilakukan dengan ikhlas. Sikap yang diterapkan oleh budaya Melayu menjadikan Inderaputera seorang kanak-kanak yang cerdik.

Maka Inderaputera pun melompat seraya bertempik merampaskan pedang pada tangannya raksasa itu. Maka pedang itu pun dapat oleh Inderaputera dengan ditolongka oleh Tuhan Yang Maha Besar. Maka lalu diparangkannya kepada raksasa itu jadi penggal dua.
(Halaman 19)

Kebijaksanaan Inderaputera semasa menangani seekor raksasa sangat dikagumi. Hal ini kerana sebelum dia diserang dia sudah berjumpa dengan tengkorak yang boleh bercakap dan tengkorak tersebut menyatakan bahawa akan raksasa yang bertukar menjadi manusia muda untuk memakan manusia yang hadir ke Berma Sakti. Jadi Inderaputera ingat akan peringatan yang telah diberikan oleh tengkorak itu dan sentiasa berwaspada dengan setiap halangan di hadapan.




Estetika dan Kepengarangan

Menurut Seri Lanang Jaya Haji Rohani et al. ( 2016 ), estetik atau keindahan adalah suatu sifat dan ciri sastera yang terpenting. Pengkaji sangat bersetuju dengan pendapat beliau, kerana tanpa nilai estetik dalam sesebuah karya, ia tidak akan dapat menarik minat pembaca mahupun pendengar. Hal ini demikian kerana, sifat manusia itu sendiri yang gemar kepada sesuatu keindahan, termasuklah keindahan berbahasa.  Hal ini turut disokong oleh pendapat beliau lagi yang mengatakan bahawa manusia suka kepada sastera kerana sifatnya yang indah, estetik, dan artistik itu. Seterusnya, apa yang dimaksudkan oleh kepengarangan pula ialah pencapaian penulis dalam dunia penulisannya.
Dalam teks hikayat, unsur-unsur keindahan bahasa diaplikasikan bagi menjiwai penceritaan,  pemikiran dan pandangan terhadap sesuatu tema dan persoalan yang ingin disampaikan. Selain itu, penggunaan gaya bahasa dalam sesebuah teks hikayat juga akan melambangkan jati diri penulis tersebut. Secara tidak langsung, pembaca akan dapat memahami dan mengenali diri pengarang berdasarkan karyanya walau pun tanpa melihat fizikalnya atau hidup sezaman dengannya. Biasanya, terdapat beberapa jenis gaya bahasa atau unsur keindahan yang digunakan dalam hikayat khususnya. Antara beberapa contoh unsur bahasa yang sering didapati dalam teks hikayat ialah metafora, personafikasi, simile, hiperbola, simbolik, repetisi dan sebagainya. Unsur bahasa ini digunakan dalam teks hikayat bagi menimbulkan keindahan dan kepelbagaian maksud cerita.
Seni keindahan bahasa dalam sastera hikayat dapat diperhatikan melalui gambaran pelukisan taman-taman, kejelitaan puteri, keindahan pakaian dan sebagainya oleh pengarang teks hikayat. Unsur-unsur keindahan ini juga digunakan bagi mengelakkan rasa bosan kepada pembaca atau pun pendengar. Ia turut bertujuan menjadikan jalan penceritaannya kelihatan lebih menarik dan dramatik. Dalam Hikayat Inderaputera umpamanya, pengarang telah menggunakan dan memanipulasikan unsur bahasa bagi membentuk cerita. Antara gaya bahasa tersebut ialah unsur personafikasi yang digambarkan dalam satu babak sewaktu Inderaputera sedang menikmati keindahan Bukit Permata. Gambaran tersebut dinyatakan oleh pengarang seperti berikut:
Seketika lagi bukit permata itu pun berdengung-dengunglah seperti bunyi buluh perindu, terlalu indah bunyinya itu. Maka Inderaputera pun duduk seketika, maka ia pun segeralah berjalan daripada itu. Sebermula jikalau lain daripada Inderaputera nescaya tinggallah ia di sana dengan sebab bunyinya itu, demikianlah adanya.
                                                                                         (Hikayat Inderaputera )
Terdapat unsur personafikasi dalam petikan teks hikayat tersebut. Personafikasi bermaksud sifat perorangan yang diberikan kepada benda atau objek selain daripada manusia. Personafikasi yang dapat dikesan ialah pada “bukit permata itu pun berdengung-dengunglah seperti buluh perindu”. Bagi ayat ini, unsur perorangan telah diberikan kepada bukit permata, iaitu “berdengung-dengunglah” sedangkan bukit tidak boleh mengeluarkan bunyi dengung seperti manusia. Unsur perorangan telah diberikan kepada bukit permata bagi memberi gambaran keindahan pada bukit tersebut.
Dalam hikayat ini juga, pengarang telah mengaplikasikan unsur metafora. Metafora bermaksud pemakaian kata-kata yang menyatakan sesuatu makna atau maksud yang lain daripada makna biasa atau makna sebenar perkataan yang berkenaan sebagai perbandingan atau kiasan ( menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ). Antara contoh metafora yang terdapat dalam hikayat ini, iaitu “laut berahi”. Kedua-dua perkataan yang bertentangan ini digunakan  bagi memperlihatkan rasa kagum terhadap kejelitaan Puteri Candera Lela Nur Lela yang tiada tolok bandingnya. Hal ini dapat dibuktikan menerusi petikan teks seperti berikut:
Maka tuan puteri pun tersenyumlah seraya memandang ke bawah mahligai itu. Maka anak raja itu pun memandang ke atas. Maka sama terpandang muka tuan Puteri Candera Lela Nur Lela dengan anak raja itu. Maka anak raja itu pun seperti lenyaplah rasanya ia dalam laut berahi itu, sebab terlalu elok rupanya tuan puteri itu. Kalakian maka anak raja itu pun tergelincirlah kakinya itu daripada yang keemasan itu, lalu jatuh ke atas tangganya pedang itu. Maka jadilah penggal dua tubuhnya itu lalu mati.
                                                                                    ( Hikayat Inderaputra )
Selain itu terdapat juga unsur repetisi. Repetisi bermaksud pengulangan perkataan yang digunakan. Terdapat pengulangan perkataan “maka” yang digunakan oleh pengarang. Penggunaan “maka” dikatakan pengaruh daripada Arab-Parsi.Bukan itu sahaja, terdapat juga penggunaan kata ganda dalam hikayat yang dikaji. Antara kata ganda yang digunakan ialah “tiap-tiap”, “laki-laki”, “kaya-kaya”, “hina dina”, “gilang-gemilang” dan sebagainya. Pengkaji telah mengenal pasti bahawa unsur inversi yang digunakan dalam hikayat ini ialah “Tuan puteri pun beranaklah seorang lelaki terlalu sekali elok paras rupanya”. Sepatutnya ia ditulis dengan “Tuan puteri pun beranaklah seorang lelaki terlalu elok sekali paras rupanya”.
Bukan itu sahaja, unsur simile atau persamaan juga dapat dikenal pasti dalam hikayat ini, iaitu “Terlalu sekali elok paras rupanya sepertimatahari baharu terbit gilang-gemilang”. Perlambangan bagi unsur simile dalam hikayat ini adalah menggunakan perkataan “seperti”. Bahasa istana yang terdapat dalam Hikayat Inderaputera ini pula ialah “baginda”, “santap”, “semayam” dan sebagainya. Seterusnya, pengarang turut menggunakan bahasa asing seperti bahasa Arab dalam karyanya. Hal ini dapat dibuktikan dengan kewujudan perkataan “Al-Quran” dalam hikayat yang dikarang. Selain itu, penggunaan bahasa Arab ini juga dapat membuktikan bahawa pada masa tersebut, karya ini ditulis pada zaman sastera Islam. Namun begitu, hikayat ini akan lebih tepat lagi sekiranya dikatakan berada pada zaman peralihan Hindu-Islam. Hal ini demikian kerana, masih terdapat banyak pengaruh Hindu yang diterapkan ke dalam hikayat ini berdasarkan kepercayaan, nama-nama watak yang digunakan dan sebagainya berbanding pengaruh Islam.
Pada pendapat pengkaji, pengarang menggunakan teknik penerapan nilai kasih sayang dalam penceritaannya. Hal ini dapat dibuktikan dalam perwatakan yang terdapat dalam hikayat ini seperti Nenek Kebayan dan Perdana Menteri yang sangat sayang akan Inderaputera. Walau pun mereka tidak mengetahui asal usul sebenar Inderaputera, namun begitu mereka tetap ingin menjaganya dan memberikan sepenuh kasih sayang kepadanya. Selain itu, watak Inderaputera juga adalah seorang yang penyayang kerana beliau sanggup mengambil risiko semata-mata untuk memenuhi hajat isteri Perdana Menteri yang ingin menimang cahaya mata sendiri.  
Pengkaji juga menganggap bahawa teknik kepengarangan pengarang Hikayat Inderaputera ini ialah beliau cuba untuk membawa pembaca kepada zaman sastera Hindu dan juga zaman sastera Islam. Hal ini demikian kerana, berkemungkinan bahawa karya ini telah ditulis pada zaman peralihan atau zaman awal kemasukan Islam ke Alam Melayu. Oleh itu, masih terdapat banyak unsur Hindu yang diterapkan berbanding dengan unsur atau nilai-nilai keislaman. Berdasarkan karya beliau juga, dapatlah dilihat atau dijadikan bukti bahawa pengarang dahulu dan kini pasti akan menggunakan keindahan dalam berbahasa. Estetika atau keindahan yang ditonjolkan menerusi karya masing-masing sangat memainkan peranan untuk menarik minat pembaca dan menjadikan sesebuah karya itu berkualiti. 

Pemikiran

Pemikiran menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et al. (2016: 69) menyatakan bahawa pemikiran bermula daripada idea dan pengalaman yang dimantapkan bersama-sama dengan imaginasi dan kreativiti untuk dijelmakan sebagai tema dan persoalan dalam karya yang pada akhirnya menjadi buah fikiran yang bernas dan signifikan. Setiap pengarang mempunyai cara yang tersendiri memilih bahan, mengejapkannya dan kemudian menjelmakannya menjadi mesej, mutiara dan permata karya. Oleh itu, setiap karya agung yang dihasilkan memiliki pemikiran yang tersendiri. Begitu juga dengan Hikayat Inderaputera. Hikayat ini mempunyai pemikirannya yang tersendiri yang ingin disampaikan oleh pengarang.
Pemikiran dalam Hikayat Inderaputera
Pemikiran yang pertama yang ingin disampaikan oleh pengarang adalah tentang ketinggian darjat seorang raja. Hal ini ditunjukkan dalam bab “Bota yang Makan Manusia”. Inderaputera merupakan putera kepada Maharaja Bikrama Buspa dan Tuan Puteri Jamjam Ratna Dewi yang sangat disanjung tinggi dan dihormati oleh sekalian rakyatnya serta raja-raja yang lain. Hal ini dapat dibuktikan dengan petikan yang berikut:
Setelah adalah tiga hari lagi perjalanan daripada negeri Semanta Beranta itu maka terdengarlah warta Inderaputera itu sudah datang maka Raja Talela Syah pun menghimpunkan sekalian rakyat bala tenteranya menyuruhkan membaiki singgahsana dan menghiasi penghadapan dan menyuruh membuat khemah akan Inderaputera dan segala anak raja-raja kepada suatu padang hampir negeri Semanta Beranta itu. Maka Inderaputera pun datanglah kepadaempat persangga bumi jauhnya. Maka Raja Talela Syah pun menitahkan Syahran Darkas dan Indera Jhilani dan segala anak raja-raja dan Perdana Menteri serta hulubalang sekalian pergi mengalu-alukan Inderaputera…”
(Halaman 141-142)
Berdasarkan petikan tersebut, dapat dilihat bahawa Inderputera sangat dihormati serta disanjungi sebagai seorang raja. Baginda dirai dan dialu-alukan dengan penuh adat istiadat oleh rakyatnya, bahkan raja-raja yang lain juga turut menyambut kedatangan baginda dengan penuh meriah dan gilang-gemilang.
Seterusnya, ketinggian darjat seorang raja juga dapat dilihat dalam hikayat ini apabila kedatangannya, iaitu Inderaputera ditunggu-tunggu oleh semua orang sehinggakan Maharaja Talela Syah sendiri tertanya-tanya dan tertunggu-tunggu akan kehadirannya ke negeri baginda apabila diberitakan kedatangan Inderaputera. Baginda bahkan bertanya kepada Indera Jilani sebanyak Sembilan kali bagi memastikan orang yang dilihatnya itu Inderaputera atau sebaliknya. Hal ini berpunca kerana, kelapan-lapan orang yang terawal dilihatnya sebagai seorang raja disebabkan oleh kehebatan yang dipamerkan oleh mereka semasa memasuki negeri Maharaja Talela Syah tersebut. Walau bagaimanapun, ternyata orang yang kesembilan yang ditemuinya paling hebat di antara lapan orang yang sebelumnya, dan itulah Raja Inderaputera yang ditunggu-tunggu. Hal ini dapat dibuktikan seperti petikan di bawah:
Maka di bawah payung itulah Inderaputera datang mengenderai di atas kudanya yang bernama Janggi Gerdana. Maka pelana kudanya itu daripada emas sepuluh mutu yang bertatahkan ratna mutu manukan dan pakaiannya terlalu indah serta menyandangkan pedangnya yang beremas dan pada kanannya Inderaputera itu Dikar Alam dan dari kirinya itu Dikar Agus dan di hadapannya itu Dikar Kilat dan di belakangnya Dikar Seruna. Maka segala hulubalang itu memakai pakaian gemala hikmat dan rakyatnya pun demikian juga sekalian itu mustaidlah dengan alat senjatanya dan ada memakai zirah berbagai-bagai warnanya. Kalakian maka Inderaputera pun berjalanlah diiringkan bala tenteranya sekalian. 
Maka titah Maharaja Talela Syah, “Hai anakku Inder Jilani, bunyi apakah ini? Maka tidakku pernah dengar seperti demikian itu”
Maka sahut Indera Jilani, “Ya Tuanku Syah Alam, inilah Inderaputera anak Maharaja Bikrama Buspa.”
(Halaman 146)
Pemikiran kedua yang ingin disampaikan oleh pengarang dalam Hikayat Inderaputera ini adalah kesaktian atau mitos. Ianya dapat dibaca dalam bab “Diterbangkan oleh Jin”. Inderaputera telah diterbangkan oleh jin ke Tasik Bahrul ‘Asyikin disebakan ketidakpatuhannya yang meminta air dalam perjalanan untuk ke mahligai Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran. Sebelum memulakan perjalanan, baginda sudah diingatkan agar tidak meminya air disepanjang perjalanan, sekiranya baginda melanggar syarat tersebut maka baginda akan jatuh ke Tasik Bahrul ‘Asyikin. Unsur mitos dapat dilihat melalui ciri fizikal tasik tersbut yang terlalu cantik dan luar biasa kejadiannya. Hal ini dapat dibuktikan dalam petikan yang berikut:
“…Maka Inderaputera pun sampailah ke Tasik Bahrul ‘Asyikin dan dilihatnya tasik itu rumputnya daripada kuma-kuma dan pasirnya daripada emas urai dan gersiknya itu daripada kapur barus dan lumpurnya itu daripada kasturi dan batunya itu daripada permata yang indah-indah. Syahadan pada tengah tasik itu ada suatu pulau bernama Biram Dewa seperti gajah rupanya sebab itulah maka dinamai Pulau Biram Dewa itu.
                                                (Halaman 74) 
Disamping itu, unsur kesaktian atau mitos dapat dilihat dalam Hikayat Inderaputera kerana ianya merupakan aspek yang paling ketara bagi menggarap jalan cerita dalam Hikayat Inderaputera ini. Aspek ini kebanyakannya diguna dan dimiliki oleh golongan bangsawan, khususnya kerabat diraja. Hal ini diceritakan melalui cara yang digunakan oleh isteri Inderaputera bagi menghidupkan baginda yang pada awalnya telah mangkat. Hal ini dapat dibuktikan dalam petikan seperti yang berikut:
“Hatta maka mayat itu pun sampailah ke rumahnya Perdana Menteri; kerana hikmat sudah zahirlah yang membunuh Inderaputera itu. Setelah itu maka dibawa masuk ke dalam kelambu oleh tuan puteri yang ketiga itu lalu dibubuhnya hikmat Bedi Zahar itu kepada tubuh Inderaputera itu. Maka dengan ditolongi oleh Tuhan Yang Maha Besar akan Inderaputera pun hiduplah…”
(Halaman 206)
            Seterusnya, unsur mitos dapat juga dilihat dalam bab “Bertemu Ayah Bonda”. Pelbagai persiapan telah dibuat oleh Maharaja Bikrama Buspa bagi menyambut kepulangan anakandanya. Antaranya ialah pertunjukan luar biasa iaitu diluar batas kemampuan manusia biasa. Hal ini dibuktikan seperti dalam petikan berikut:
“Kalakian maka Raja Dewa Lela Mengerna pun melontarkan bajunya ke dalam laut itu menjadikan sebuah kapal belayar terlalu amat indah rupanya. (Maka) dilihat oleh Nobat Rum Syah terlalu indah-indah itu. Maka ia pun melontarkan bajunya ke udara. Maka menjadilah mega. Aka mega itu pun jatuh ke laut. Maka menjadi sepohon kayu beraksa. Maka seketika lagi maka Raja Puspa Pandai pun memanah ke udara. Maka anak panah itu pun menjadi hujan (air mawar di udara) dan segala isi negeri pun hairan melihat akan kelakuan itu.
(Halaman 228)

Secara keseluruhannya, Hikayat Inderaputera ini memperlihatkan pemikiran yang berunsurkan mitos bagi memperhebatkan watak yang terdapat di dalamnya. Selain itu, pemikiran yang disampaikan oleh pengarang dalam Hikayat ini juga adalah terdapatnya pengaruh Hindu dalam jalan penceritaannya yang ada juga diselitkan unsur keislaman di dalamnya.



BIBLIOGRAFI
Raja Ali Haji, (2000). Hikayat Inderaputera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan         Pustaka.
Seri Lanang Jaya Rohani, Abd. Rahman Napiah dan Mohd Rashid Md. Idris,           (2016). Karya agung Melayu. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan       Idris.

No comments:

Post a Comment