Laman Utama








KARYA AGUNG MELAYU

Apa Itu Karya Agung?

Menurut Seri Lanang Jaya et al. (2016: 01), Karya Agung dalam konteks dunia Melayu boleh ditakrifkan sebagai karya yang nilainya tahan zaman, yakni yang kekal sepanjang zaman sebagai khazanah budaya dan ilmu budayanya. Nilai yang dimaksudkan adalah nilai seni, nilai budaya, nilai ilmu dan pemikiran yang terkandung di dalamnya, nilai pada teknik kepengarangannya yang luar biasa dan nilai bahasanya yang tinggi dan indah. Menurutnya lagi, Karya Agung merupakan karya ulung yang meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa.  Karya ulung yang dimaksudkan ialah karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah dan nilai budaya dan sosial yang kekal dalam  kesedaran dan ingatan bersama bangsa itu. Jelaslah bahawa karya agung merupakan karya yang dijadikan sebagai bahan rujukan dan ikutan untuk generasi yang akan datang.
            Karya Agung Melayu pula merupakan karya yang melambangkan keunggulan daya cipta atau hasil kreativiti seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu pada zaman dahulu dalam menggambarkan idealisme, nilai pandangan hidup, adat, budi, kesedaran dari segi agama dan moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk-bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga mampu untuk meninggalkan kesan dari aspek seni, budaya dan falsafah yang kekal sepanjang zaman dalam kehidupan bangsa Melayu. Secara amnya, ketamadunan Melayu amat dipengaruhi dan dibentuk oleh tradisi sastera ini sendiri. Karya Agung Melayu juga merupakan karya-karya agung yang ditulis atau diungkapkan serta dilisankan, seperti pepatah, pantun, lipur lara dan lain-lain lagi dalam bahasa Melayu tanpa mengira kelompok bangsa dan etnik dalam kawasan dunia Melayu, sama ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu atau orang Melayu Brunei dan sebagainya yang menghasilkan karya-karya tersebut.    


No comments:

Post a Comment