Pengenalan & Sinopsis Karya

PENGENALAN
Karya agung dalam konteks dunia Melayu boleh ditakrifkan sebagai karya yang nilainya tahan zaman, yakni yang kekal sepanjang zaman sebagai khazanah budaya dan ilmu Melayu. Nilai yang dimaksudkan ialah nilai seninya, nilai budayanya, nilai ilmu dan pemikiran yang terkandung dalam di dalamnya, nilai pada teknik kepengarangannya yang luar biasa, dan nilai bahasanya yang tinggi dan indahsemuanya lahir dalam kesepaduan bentuk, bahasa dan gaya penceritaan yang ‘luar biasa’. Maksud ‘luar biasa’ ini dapat kita lihat dan rasakan apabila kita mengkaji cara atau kaedah berfikir danbercerita yang digunakan, sama ada secara sedar, spontan, atau secara ‘terancang’, bagi menyampaikan sesuatu ilmukonsep, pandangan hidup, mesej dan lain-lain (Hassan Ahmad; 2005 dalam Mohd Rashid Md Idris et al).

            Karya agung ialah karya ulung yang meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Yang dimaksudkan dengan karya ulung ialah karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah dan nilai budaya dan sosial yang kekal dalam kesedaran atau psyche dan ingatan bersama bangsa itu sepanjang sejarahnya. Unsur mutu, nilai ketamadunan dan nilai kemanusiaan semestinya hadir dalam karya seperti itu. Selain itu, karya agung juga sebuah karya yang dianggap oleh pelbagai institusi dan badan berautoriti sebagai karya yang mencerminkan kehebatan sesuatu bangsa melalui amalan cara hidup, adat istiadat, falsafah, budaya, dan sosial yang kekal dalam kesedaran dan ingatan pembaca. Unsur dalam karya ini merangkumi mutu, nilai ketamadunan dan nilai kemanusiaan di dalam karya tersebut (Mohd Rashid Md Idris et al.; 2014).

            Karya agung melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Tamadun Greek, Cina, India, Mesir dan bangsa-bangsa yang lain dikenali melalui karya seni, pemikiran, falsafah, sastera dan dicetuskan oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala. Mereka yang mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman, dipelajari, dijadikan petua, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini (Hassan Ahmad; 2005 dalam Mohd Rashid Md Idris et al.).

Hikayat Inderaputera, merupakan sebuah karya agung dalam kategori genre cerita lipur lara Melayu yang sangat terkenal pada abad ke-17 dan ke-18. Sejumlah 30 naskhah hikayat ini yang diketahui masih ada, terpelihara dan disimpan di perpustakaan negeri Belanda, Britain, Jerman, Perancis, Belgium, Sri Lanka, Indonesia dan Malaysia. Hikayat ini terdapat dalam beberapa versi iaitu versi Aceh, versi Jawa, versi Lombok, versi Bugis, versi Cam dan versi Mindanao. Hikayat ini juga disebut dalam karya agung Melayu yang lain, iaitu Bustan al-Salatin dan Sirat al-Mustakim karangan Nuruddin al-Raniri, juga dalam Taj al-Salatin karangan Bukhari al-Jauhari. Pengarangnya tidak diketahui dan ia adalah antara karya yang masih terselamat sehingga hari ini.




Sinopsis
Mengisahkan seorang Raja Bikrama Buspa mempunyai kerajaan yang amat besar, Sementa Pura namanya. Isterinya, Tuan Puteri Jamjan Ratna Dewi, melahirkan seorang bayi laki-laki yang amat elok parasnya dan diberi nama Inderaputera. Baginda meminta ahli nujum melihat nasib puteranya itu. Menurut ramalan mereka, Inderaputera akan menjadi raja yang penuh kebesaran, tetapi malangnya dia akan berada bersama-sama ayahandanya hanya selama tujuh tahun sahaja.

            Pada suatu hari, Raja Bikrama Buspa dan anaknya Inderaputera menonton pertunjukan pandai emas dan pandai kayu. Pandai kayu membuat ikan dan dibubuh di dalam pasu, lalu berpantun dan berselokalah ikan itu. Kemudian pandai emas pula menunjukkan kebolehannya dengan membuat merak daripada emas. Merak itu disimpan oleh Raja Bikrama pada talam emas dan perak. Merak itu pun menyanyi seraya dengan bangganya memuji kecantikan dirinya. Ketika itu Inderaputera pun turun dari pangkuan ayahandanya lalu mendekati merak itu. Dengan tidak disangka-sangka merak itu menyambar Inderaputera dan menerbangkannya ke udara.

            Merak emas menerbangkan Inderaputera ke sebuah negeri dan menjatuhkannya ke sebuah kebun kepunyaan Nenek Kebayan. Apabila Nenek Kebayan pulang dari menjual bunga dia terlihat seorang kanak-kanak sedang duduk di bawah sepohon delima. Dia bertanya tentang diri anak itu. Inderaputera pun berceritalah akan nasib untungnya. Nenek Kebayan memelihara Inderaputera dengan penuh kasih sayang. Apabila orang bertanyakan mengenai kanak-kanak itu, dia mengatakan yang Inderaputera itu anaknya. Orang-orang yang melihatnya pun sayang kepadanya.

            Pada suatu hari Inderaputera dibawa berjual bunga ke rumah Perdana Menteri. Melihat keelokan pekerti dan paras kanak-kanak itu Perdana Menteri berasa kasih kepadanya lalu meminta untuk memelihara kanak-kanak itu. Pada mulanya Nenek Kebayan menolak permintaan itu tetapi setelah beliau merayu bersungguh-sungguh dia pun dibenarkan memelihara budak itu pada sebelah pagi sahaja, manakala pada waktu malam dia akan tinggal bersama-sama Nenek Kebayan. Dalam pemeliharaan Perdana Menteri, Inderaputera menjadi semakin bijak dan membesar dengan perkasa.

            Diceritakan kemudiannya bahawa Inderaputera berkhidmat kepada Raja Syahian untuk menemui Berma Sakti di Gunung Mali Kali untuk mendapatkan ubat bagi memperoleh anak. Dalam perjalanan itu binatang-binatang buas berhimpun menemui Inderaputera. Mereka meminta perlindungan daripada putera raja itu daripada menjadi mangsa musuh mereka. Inderaputera juga bertemu dengan tengkorak yang menceritakan peri adanya raksasa dan dialah kelak yang akan membunuh raksasa itu. Inderaputera mendaki sebuah gunung dan menemui raksasa yang amat ajaib dan dengan ketangkasannya, Inderaputera berjaya menewaskan raksasa itu. Dia kemudian meneruskan perjalanannya. Berdekatan dengan Padang Darsal, Inderaputera terserempak dengan dua pihak yang sedang berperang antara satu sama lain. Inderaputera menyebelahi pihak Nobat Rum Syah melawan jin kafir, hinggalah dia memperoleh kemenangan. Nobat Rum Syah menjemput Inderaputera ke negerinya dn mengahwinkannya dengan Puteri Jamjan Dewi Gemala Ratna.

            Inderaputera meneruskan perjalanannya hingga sampai ke Tasik Semenda Jin. Di situ dia berjaya menyelamatkan diri daripada ditindih oleh seorang peri. Peri itu ditawannya tetapi dia memohon dilepaskan dengan janji akan memberi Inderaputera Geliga Mayan Bedi yang boleh menegeluarkan angin, ombak, dan sebagainya. Di sini juga Inderaputera menemui Puteri Ratna Gemala Nehran anak Maharaja Syah Tokan. Sewaktu Ratna Gemala Nehran sedang mandi bersama-sama dayang-dayangnya di dalam sebuah tasik, Inderaputera telah mengambil baju puteri tersebut. Baju itu dikembalikannya setelah puteri itu berjanji akan memberinya gemala hikmat miliknya yang tersimpan di atas kemuncak mahligainya.

            Inderaputera menaiki tabak tuan puteri untuk naik ke kayangan. Apabila tiba di Padang Belantara Hairani, Inderaputera menoleh ke belakang. Akibatnya dia terjatuh di padang itu. Dari jauh dia terlihat istana Puteri Seri Ratna Gemala Nehran yang terletak di mercu gunung berapi. Dia pun mendaki gunung itu dan masuk ke istana. Apabila tiba di balairung dia terpaksa berhadapan dengan seekor gajah tetapi gajah itu dapat ditewaskannya. Kemudian dia membunuh seekor harimau, seekor singa, seekor badak, seekor naga berkepala tujuh, seekor geroda, dan seekor raksasa.

            Tunang Puteri Ratna Gemala Nehran, Raja Dewa Lela Mengerna, tersalah sangka apabila melihat puteri sedang berbual-bual mesra dengan Inderaputera. Dia menghimpunkan askarnya lalu menuju ke istana puteri itu. Dia mencabar Inderaputera supaya keluar berperang. Inderaputera menyeru jin, peri serta hulubalang keluar dari gemala hikmatnya. Berlakulah pertempuran hebat antara kedua-dua pihak. Berita peperangan itu akhirnya sampai ke telingan Nobat Rum Syah. Dia pun membawa askarnya menolong Inderaputera. Tetapi kemudiannya salah sangka berakhir dan Inderaputera diterima sebagai teman yang mulia dan dijamu dengan penuh hormat.

            Jin Tamar Buga amat murka kepada Inderaputera kerana membunuh anaknya, Tamar Jalis. Dia membalas dendam dengan menyambar Inderaputera dan cuba membuangkannya ke dalam Laut Kalzum. Walau bagaimanapun, Inderaputera berjaya membunuh Tamar Buga. Tiba-tiba dia teringat kepada Tuan Puteri Ratna Gemala Nehran, tetapi jin gemala hikmat memberitahunya bahawa negeri puteri tersebut telah jauh ditinggalkan oleh mereka. Inderaputera meminta jin itu menerbangkannya melalui gunung berapi itu. Jin itu sanggup membawanya dengan syarat Inderaputera tidak meminta air.

            Semasa mereka sedang melalui gunung berapi itu Inderaputera berasa dahaga yang amat sangat sehingga tidak dapat dia menahan diri daripada meminta air. Apabila dia berbuat demikian dia pun terjatuh di tepi Tasik Bahrul Asyikin yang amat cantik. Puteri Seganda Cahaya Iram yang ditemui oleh Inderaputera memberinya sebuah cembul ajaib yang boleh menjelmakan mahligai. Setelah itu dia menuju ke gua perbendaharaan Raja Baharum Tabak yang dijagai oleh seekor ular yang amat besar. Ular tersebut dapat dibunuh oleh Inderaputera. Dari salah sebuah bilik dia menemui seekor kuda hijau bernama Janggi Gerdana dan dari kepala ular diperolehnya bedi Zahar yang boleh menghidupkan orang yang telah mati. Kemudian dia beredar ke mahligai Puteri Cendera Lela Nur Lela sebelum meneruskan perjalanannya.


            Dipendekkan cerita, Inderaputera dapat menemui Berma Sakti yang memberinya sekuntum bunga tanjung dan berbagai-bagai hikmat. Dia kemudiannya kembali ke negeri Raja Syahian. Setelah makan sayur bunga tanjung kepunyaan Inderaputera, permaisuri hamil. Setelah genap bulannya, permaisuri pun melahirkan seorang bayi perempuan yang diberi nama Tuan Puteri Mengindera Seri Bulan yang amat cantik parasnya. Apabila puteri itu meningkat dewasa ramailah putera raja yang datang berhamba diri bagi tujuan meminang puteri. Ditakdirkan puteri jatuh sakit dan tiada siapa yang berjaya mengubatinya sehinggalah Raja Syahian membuat pengumuman untuk mengahwinkan anaknya dengan sesiapa yang berupaya menyembuhkan penyakit tuan puteri itu. Pada ketika inilah muncul Inderaputera yang selama ini berada jauh setelah dibuang kerana fitnah para pembesar negeri. Dengan mudah Inderaputera menyembuhkan penyakit puteri itu. Ini membuat menteri-menteri dan anak-anak raja dengki kepadanya, lalu dia dibunuh tetapi dapat dihidupkan semula oleh isteri-isterinya. Cerita berakhir dengan perkahwinan Inderaputera dan Tuan Puteri Mengindera Seri Bulan.

1 comment: